Cahaya hakiki (yang sebenar) ialah Allah. Lain daripada itu, nama "cahaya"
adalah hanya perumpamaan sahaja dan tidak membawa maksud yang sebenar.
Untuk menerangkan perkara ini,
saudara hendaklah tahu bahawa perkataan "cahaya" itu digunakan di tiga tempat
pengertian.
Pertama,
digunakan oleh kebanyakan orang.
Kedua, digunakan oleh sedikit orang dan;
Ketiga, digunakan oleh beberapa orang sahaja.
Kedua, digunakan oleh sedikit orang dan;
Ketiga, digunakan oleh beberapa orang sahaja.
Kemudian saudara hendaklah tahu
berbagai-bagai peringkat cahaya yang berkaitan dengan yang kedua dan ketiga dan
darjah-darjah hakikat yang ada bersangkutan dengan peringkat-peringkat
tersebut, agar dengan itu saudara dapat mengetahui, setelah
peringkat-peringkat ini menjadi bertambah terang kepada saudara, bahawa Allah
itulah cahaya paling tinggi dan terakhir. Selanjutnya apabila hakikat yang
berkaitan dengan tiap-tiap peringkat itu telah ternampak, maka disedarilah
bahawa Allah itu sahajalah yang hakiki, cahaya sebenarnya, dan yang lain tidak
mempunyai cahaya apa-apa.
Pengertian
Pertama
Sekarang mari kita bincangkan
pengertian yang pertama. Di sini perkataan "cahaya"
menunjukkan "fenomena" atau
kejadian. Fenomena atau apa yang nampak ialah istilah relatif (bandingan dan
berubah-ubah), kerana sesuatu itu ternampak kepada sesuatu yang lain dari
dirinya, atau tersembunyi daripada sesuatu yang lain dari dirinya. Maka dengan
itu, nampak atau tidak nampak adalah relatif sahaja. Selanjutnya pula, nampak
dan tidak nampak itu adalah relatif (bandingan) kepada kebolehan memandang
(Perceptive faculties). Pada kebanyakan orang kebolehan memandang yang paling
kuat dan terang ialah deria-deria (senses). Satu daripada deria-deria itu ialah
deria lihat atau penglihatan mata. Benda-benda ini pula dari segi deria lihat
terbahagi kepada jenis-jenis berikut;
1. Tanda-tanda yang dengan
sendirinya tidak boleh kelihatan, seperti benda-benda atau badan yang kelam
(gelap).
2. Tanda-tanda yang dengan
sendirinya boleh kelihatan, tetapi tidak boleh membuat benda-benda lain
kelihatan, seperti bintang-bintang, api yang sebelum menyala.
3. Tanda-tanda yang dengan
sendirinya boleh kelihatan dan juga membuat benda-benda lain boleh kelihatan,
seperti bulan, matahari, atau lampu dan api yang menyala.
Nama
cahaya ini diberi kepada golongan jenis yang mombor tiga(3) di atas
itu. Kadang-kadang kepada apa yang terpancar
dari benda-benada yang bersinar ini dan pancaran itu terjatuh atau tertumpu
kepada bahagian luar benda-benda yang kelam (tidak lut sinar) iaitu apabila kita
katakan "bumi diterangi" ke dinding atau ke
pakaian dan kadang-kadang kepada benda-benda yang bersinar itu sendiri kerana
benda-benda itu bersinar dengan sendirinya.
Kesimpulannya, cahaya ialah perkataan yang digunakan kepada apa yang
dengan sendirinya boleh kelihatan dan membuat yang lain kelihatan, seperti
matahari. Inilah takrif (definisi) cahaya dan hakikat
berkenaan cahaya menurut pengertian yang pertama itu.
Pengertian
Yang Kedua
Kita telah lihat sekarang bahawa
hakikat cahaya itu ialah apa yang nampak kelihatan oleh orang yang melihat; dan
penglihatan itu; terkadang kepada wujudnya dua perkara iaitu;
-
1. cahaya.
-
2. mata yang melihat.
kerana meskipun cahaya itu adalah apa
yang nampak dan disebabkan supaya nampak, namun ia tidak nampak atau disebabkan
supaya nampak kepada orang-orang buta.
Oleh yang demikian, ruh (safiriah)
si pelihat adalah sama penting dengan cahaya yang boleh dilihat itu. Ruh itu
memainkan peranan penting dalam penglihatan bahkan ia lebih penting kerana ruh
si pelihat itulah yang mengerti dan melalui ruh itulah fahaman atau pengertian
terjadi atau terjelma. Cahaya tidak ada pengertian dan tidak ada pengertian
atau fahaman berlaku melaluinya. Tetapi hanya semata-mata apabila ia ada hadir
sahaja.
Sebenarnya perkataan "cahaya" itu
ialah cahaya yang melihat yang kita namakan "mata". Dengan demikian, manusia memakai perkataan "cahaya" itu kepada cahaya
mata.
Orang yang kabur matanya,
dikatakan "cahaya penglihatannya kabur".
Orang yang lemah penglihatan dikatakan "cahaya pandangan matanya lemah".
Orang yang buta dikatakan "cahayanya habis gelap"
Orang yang lemah penglihatan dikatakan "cahaya pandangan matanya lemah".
Orang yang buta dikatakan "cahayanya habis gelap"
Adalah dikatakan bahawa anak mata itu
menumpukan "cahaya" pandangan dan memperkuatkannya. Bulu mata pula dijadikan
Allah berwarna hitam dan dijadikan untuk memandu dua biji mata itu pula
berpusing-pusing supaya menumpukan "cahayanya." Dikatakan juga mata putih itu
menyelerakkan "cahaya mata" itu dan melimpahkannya, dan memandang lama kepada
permukaan putih berkilau, atau lebih lagi memandang cahaya matahari akan
menyilaukan "cahaya mata" itu dan mencacatkannya seperti mana permukaan yang
lemah dicacatkan oleh permukaan yang kasar dan kuat.
Sekarang tahulah saudara
bahawa ruh si pelihat itu digelar cahaya. Kenapa
digelar demikian itu dan kenapa sewajarnya digelar demikian itu?. Inilah
pengertian kedua yang diketahui oleh sedikit orang sahaja.
Pengertian
Yang Ketiga.
Hendaklah saudara tahu selanjutnya
iaitu cahaya penglihatan biasa itu mempunyai beberapa kekurangan atau kecacatan.
-
Ia melihat benda lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri.
-
Ia juga tidak dapat melihat perkara yang sangat jauh atau yang sangat dekat.
-
Ia tidak dapat melihat perkara yang di belakang dinding.
-
Ia melihat yang diluar sahaja dan tidak nampak yang di dalam.
-
Ia melihat bahagian-bahagian sahaja bukan keseluruhan.
-
Ia melihat perkara yang terbatas atau terhad dan tidak nampak perkara yang tidak terbatas.
-
Dalam melihat itu pula, ia banyak membuat kesalahan, kerana apa yang sebenarnya besar, pada pandangannya nampak kecil, apa yang jauh nampak dekat, apa yang diam nampak bergerak, apa yang bergerak nampak diam.
Inilah
tujuh kecacatan yang ada pada mata biasa itu.
Jika ada
mata lain yang tidak mempunyai kecacatan atau kekurangan tersebut di atas,
bukankah betul juga jika mata sedemikian itu diberi nama "Cahaya"
juga?.
Ketahuilah bahawa ada sejenis mata di
Alam Aqal atau jiwa manusia, yang bebas dari kekurangan dari kecacatan yang ada
pada mata biasa ini. Itulah yang digelarkan "Aqal", "Ruh", "Jiwa".
Tetapi di sini eloklah kita tinggalkan sahaja beberapa istilah tersebut kerana
istilah-istilah yang banyak itu menyebabkan orang yang kurang pintar fikirannya
akan menyangka banyak pula idea-idea atau tanggapan-tanggapan yang dimaksudkan
oleh istilah-istilah itu. Apa yang kita maksudkan ialah sesuatu yang
membezakan orang yang berfikiran dengan bayi, dengan binatang dan dengan orang
gila. "Sesuatu itu" kita katakanlah ia sebagai "Aqal". Tak usahlah kita
gunakan istilah-istilah seperti ruh atau jiwa itu, supaya tidak mengelirukan
perbincangan kita itu. Kita pakai perkataan Aqal sahaja untuk semuanya.
Oleh yang demikian itu, aqal itu lebih baik kita namakan
"cahaya" dan tidak dinamakan "mata" kerana "Aqal" itu tidak mempunyai tujuh
macam kecacatan atau kekurangan yang tersebut tadi.
Kita bincangkan sekarang.
Kekurangan
dan Kecacatan Pertama.
Mata itu tidak dapat melihat dirinya
sendiri tetapi Aqal dapat melihat dirinya dan juga yang lain. Ia melihat
dirinya dan tahu yang ia ada diberi ilmu, kuasa dan lain-lain; dan melihat
ilmunya sendiri dan melihat ilmu bagi ilmunya, dan seterusnya . Inilah keadaan
mata batin yang dinamakan Aqal itu. Mata biasa (lahir) tidak mempunyai
sifat-sifat seumpama itu.
Kekurangan
dan Kecacatan Kedua.
Mata kasar atau mata biasa ini tidak
dapat melihat apa yang sangat dekat dan juga yang sangat jauh. tetapi bagi
Aqal, tidak ada bezanya antara dekat dan jauh. Dengan sekelip mata, Aqal dapat
naik ke langit yang paling tinggi, sekelip mata juga ia menurun ke perut bumi.
Jadi, jelaslah kepada kita bahawa Aqal itu tidak tertakluk kepada tanggapan
atau idea "JAUH" dan "DEKAT", yang mana kedua idea itu berpakai dalam
Alam Kebendaan sahaja, tetapi Aqal termasuk dalm bidang Yang Suci dan Tinggi.
Ini menunjukkan bahawa Aqal itu
adalah satu pulau atau "ceruk" atau contoh sifat-sifat Ketuhanan. Contoh ini
pastilah bersesuaian atau sepadan dengan asalnya, meskipun ia tidak sampai ke
tingkat persamaan atau setaraf dan ini mungkin menyedarkan saudara tentang maksud yang sebenarnya berkenaan hadi Nabi SAW.
yang bermaksud;
"Allah
menciptakan Adam menurut bayanganNya sendiri".
Tetapi buat
setakat ini tidaklah sesuai lagi kita bicarakan secara lebih mendalam tentang
perkara ini.
Kekurangan
dan Kecacatan Ketiga.
Mata kasar ini tidak dapat melihat
apa yang di belakang dinding, tetapi Aqal bebas lepas terbang sampai ke langit
yang maha tinggi dan ke alamnya sendiri, dan alam ghaib. Hakikat sesuatu tidak
terhijab kepada Aqal. Yang menjadi hijab (tabir) padanya ialah yang dianggap
sebagai kepentingan sendiri iaitu ibarat hijab yang dianggap oleh mata, kerana
kehendak sendiri, apabila kulit mata di tutup. Perkara ini akan kita
bincangkan lagi di bab ketiga karangan ini.
Kekurangan
dan Kecacatan Keempat.
Mata melihat bahagian luar sesuatu
benda sahaja, tetapi tidak melihat bahagian dalam benda itu. Ini bererti mata
kasar ini hanya nampak bentuk-bentuk benda itu sahaja, bukan hakikat benda
itu. Tetapi Aqal menembusi batin benda itu dan terus ke rahsianya.
-
Ia mengetahui hakikat sesuatu dan juga jiwanya.
-
Ia dapat mengenal dan menimbulkan sebab-sebab dan hukum-hukum -
-
dari apa sala benda itu,
-
bagaimana terjadi berapa banyak bentuk-bentuk ideal(sempurna) yang ada padanya,
-
apa peringkat kejadiannya,
-
apa perhubungannya dengan kejadian yang lain,
-
dan banyak lagi.
Eloklah di sini kita ringkaskan
sahaja.
Kekurangan
dan Kecacatan Kelima.
Mata hanya melihat sebahagian sahaja
daripada keseluruhan yang ada kerana semua konsep atau tanggapan dan banyaknya
perkara yang dapat diketahui oleh pancaindera adalah di luar garisan
pandangannya. Ia (mata) tidak melihat bumi, bau, rasa dan tidak tidak mempunyai
kebolehan mendengar, membau, merasa, bahkan semua sifat-sifat kebatinan itu
tidak terlihat olehnya. Mata tidak nampak keadaan suka, duka, sedih, sakit,
seronok, cinta, kemahuan, kuasa, kehendak, ilmu dan lain-lain lagi. Oleh
itu bidang mata kasar itu sangat sempit dan tindakannya terbatas. Tidak dapat
melebihi lingkungan bidang warna dan bentuk. Warna dan bentuk adalah kejadian
yang paling kasar kerana benda-benda yang zhohir atau tabiat ini adalah makhluk
atau kejadian yang kasar.
Tetapi bidang Aqal ialah seluruh Alam
Wujud, kerana ia mengetahui segala kejadian yang kita sebutkan tadi dan bebas
meliputi segala yang lain juga, dan dapat pula Aqal itu membuat keputusan yang
tentu dan benar. Itulah dia rahsia batin benda-benda yang zhohir dan itulah dia
bentuk-bentuk tersembunyi bagi benda-benda zhohir.
Sebutkan kepada saya(Imam Ghazali)
apa pula haknya mata kasar itu diberi taraf sama dengan
Aqal dalam pemberian nama "cahaya" itu ?. Sesungguhnya tidak. Mata
itu sebenarnya gelap. Penglihatan adalah semata-mata satu daripada alat
pengintip bagi Aqal. Aqal memberi mata satu tugas untuk melihat perkara yang
kasar, iaitu warna dan bentuk, Aqal menyuruh mata membawa laporan tentang
warna dan bentuk tadi kepada Tuhannya, yang akan menghakimkan menurut arahan
penelitian dan pertimbangan Aqal itu. Begitu jugalah dengan kebolehan-kebolehan
yang lain.
Tetapi alat pengintip Aqal -
khayalan, fantasi (bayangan fikiran), pemikiran, ingatan, dan di belakang
mereka adalah hamba-hamba abdi yang menjalankan tugas mereka dalam dunia mereka
sekarang ini. Semua itu ada yang ditahan dan ada yang diberi kebebasan,
seperti mana bebasnya seorang raja menguasai hamba abdinya, bahkan lebih bebas
dari itu lagi. Untuk menghuraikan perkara ini akan mengambil masa yang panjang
dan perkara ini telah pun dihuraikan dalam kitab saya yang berjudul "Ihya
Al-'Ulum" di bawah tajuk "Keajaiban fikiran".
Kekurangan
dan Kecacatan Keenam.
Mata tidak boleh melihat apa yang
tidak terhad. Yang boleh dilihatnya ialah sifat-sifat benda yang diketahui dan
semua itu adalah terhad dan terbatas. Tetapi Aqal mengetahui
tanggapan-tanggapan dan konsep bukanlah sesuatu yang terhad. Memang benar
berkenaan dengan ilmu yang telah dicapai, isinya yang dikemukakan kepada Aqal
itu adalah terhad. Ia ada keupayaan mengetahui yang tidak terhad. Ini jika
hendak diterangkan sepenuhnya, memang panjang, tetapi jika saudara mahukan
contoh, maka inilah satu contoh dari ilmu kira-kira.
Dalam ilmu ini Aqal memahami
siri-siri angka bulat atau angka penuh (bukan pecahan) dan siri-siri ini tidak
terhad. Juga, Aqal tahu angka-angka sebelum dua, tiga dan lain-lainnya; dan
ini pun tidak ada hadnya. Aqal juga tahu semua perkaitan yang berbeza-beza
antara nombor-nombor itu, dan ini juga tidak terhad. Akhirnya Aqal mengetahui
pengetahuannya sendiri tentang sesuatu perkara. Tahunya tentang pengetahuan itu
pun tidak terbatas.
Kekurangan
dan Kecacatan Ketujuh.
Mata nampak benda yang besar itu
kecil. Ia melihat matahari sebesar mangkuk dan bintang sebesar wang syiling
yang bertaburan di atas permaidani biru. Tetapi Aqal mengetahui bahawa matahari
dan bintang itu besar, bahkan lebih besar dari bumi. Kepada mata,
bintang-bintang itu nampak tidak bergerak; dan kanak-kanak nampaknya tidak juga
tinggi badannya. Tetapi bagi Aqal, ia tahu kanak-kanak itu semakin tinggi
badannya berikutan dengan meningkatkan umurnya. Bintang itu bergerak dengan
pantas melalui jarak yang beribu-ribu batu.
Dikatakan bahawa Nabi SAW. bertanya
kepada Jibrail;
"Adakah matahari itu
bergerak?"
Jibrail
menjawab;
"Tidak -
Ya".
Nabi bertanya
lagi;
"Bagaimanakah
itu?"
Jibrail
menjawab;
"Antara aku berkata
tidak dan ya itu, matahari telah bergerak sejauh 500 tahun
perjalanan".
Oleh yang demikian, kesilapan dan
kekurangan pandangan mata itu memang banyak, tetapi Aqal melampaui semua itu
dan tidak ada kesilapan yang demikian itu.
Mungkin saudara berkata bahawa ada
saudara lihat orang yang cerdik itu membuat kesilapan dan kesalahan juga. Jawab
saya(Imam Ghazali) - Kebolehan khayalan dan fikiran mereka selalunya melalui
pertimbangan mereka menghukumkannya dan ini menimbulkan keyakinan yang mereka
anggap itulah keputusan yang dihukumkan oleh Aqal. Kesilapan atau kesalahan itu
terletak kepada kebolehan yang rendah itu. Bacalah karangan saya tentang semua
kebolehan ini dalam kerangan saya berjudul "Mu'ayar al-Alim" dan "Muhaqiq
An-Nadzhor". Tetapi apabila Aqal dipisahkan dari dustaan dan tipuan fantasi dan
khayalan, maka kesalahan bagi Aqal itu tidak mungkin.
Aqal akan
melihat itu sebagaimana sebenarnya. Pemisahan ini sangatlah sukar, dan hanya
mencapai kesempurnaannya setelah mati. Barulah waktu itu terang dan nyata
kesalahan dan segala rahsia terbuka luas; dan tiap-tiap orang akan bertemu
dengan suka atau duka yang telah disediakan oleh dirinya dan "lihatlah kitab yang merekodkan tiap-tiap pahala dan tiap-tiap
dosa, tanpa satu pun yang tinggal". (Al-Quran).
Ketahuilah
bahawa khayalan dan fantasi itu pun adalah hijab juga. Oleh itu orang yang
telah diperdayakan dan ditipu oleh khayalannya sendiri, kepercayaan salahnya
sendiri, dan fikirannya yang sia-sia akan menjawab, "Tuhan kami! Kami telah lihat engkau dan mendengar engkau.
Hantarkanlah kami kembali (ke dunia) dan kami akan membuat kebaikan.
Sesungguhnya sekarang kami yakin sebenar-benarnya". (Al-Quran).
Dari pandangan di atas tahulah
saudara bahawa mata itu lebih tepat dipanggil "cahaya" dan bukan cahaya biasa
yang dilihat oleh pancaindera itu, dan selanjutnya, Aqal itu lebih wajar
digelar "Cahaya" dan bukannya mata. Memang benar dikatakan bahawa antara
keduanya ada perbezaan yang besar nilainya, sehingga kita boleh bahkan mesti
menganggap bahawa Aqal itulah yang sebenarnya dinamakan "CAHAYA".
Tidak ada komentar:
Posting Komentar