Jalan Yang Pertama
Jalan pertama adalah jalan yang termaklum
dan saluran yang dapat dirasa, diakui oleh sekelian ahli akal.
Adapun Pengajian Rabbani terbahagi kepada
dua bahagian iaitu;
-
Mendapatkan ilmu dengan pengajian dan;
-
Mendapatkan ilmu dari dalam iaitu dengan memenuhkan masa dengan berfikir.
Berfikir dari batin sama dengan pengajian
pada lahir.
Pergajian adalah
pengambilan faedah seorang
peribadi(Al-Syakhos) dari seorang peribadi
bahagian(Al-Syakahosul-Juz'ii) manakala
Berfikir adalah pengambilan faedah suatu Jiwa(Al-Nafs) dari
Jiwa Keseluruhan
(Al-Nafsul-Kulli). Jiwa
Keseluruhan(Al-Nafsul-Kulli) lebih kuat kesannya dan lebih kuat pengajarannya
dari sekelian ulama-ulama dan para ahli akal.
Ilmu-ilmu adalah terhunjam dalam umbi
sekelian jiwa secara kekuatan, seperti benih dalam bumi dan seperti geliga pada
dasar lautan atau dalam benda galian.
Pengajian ialah menuntut keluar sesuatu dari kekuatan kepada
tindakan(Minal Quwwati Ila Fi'li) dan Mengajar ialah mengeluarkan
sesuatu itu dari kekuatan kepada tindakan.
Maka jiwa pelajar adalah serupa dengan jiwa
pengajar dan hampir di antara keduanya dalam nisbah; seorang Alim dipandang dari
segi memberi faedah seperti seorang petani dan seorang pelajar pula dari segi
mengambil faedah seperti tanah dan ilmu yang mana adalah ketika dalam kekuatan
adalah seperti benih dan ketika dalam tindakan adalah seperti tumbuh-tumbuhan.
Bila sempurna jiwa pelajar, ia menjadi sebagai pokok yang berbuah atau seperti
geliga yang keluar dari dasar lautan.
Bila kekuatan-kekuatan badaniah dapat
menguasai jiwa, pelajar itu perlu menimbakan pengajiannya, memperlanjutkan
waktu, memikul kesulitan-kesulitan, kepenatan dan berusaha dalam mencari faedah.
Bila Nur Akal menguasai atasa sifat-sifat perasaan,
seorang penuntut tidak memerlukan pengajian yang banyak. Hanya dengan sedikit
berfikir atau sesaat berfikir ia mendapat faedah-faedah yang tiada didapati oleh
jiwa yang kaku dengan pengajian selama setahun. Oleh itu setengah orang mendapat
ilmu-ilmu dengan pengajian dan setengah pula dengan berfikir.
Pengajian memerlukan pula kepada berfikir,
kerana manusia tiada dapat mempelajari segala sesuatu baik berupa
bahagian-bahagian dan keseluruhan-keseluruhan, juga tidak dapat mempelajari
semua maklumat, bahkan sebahagiannya is dapat dengan pengajaian dan sebahgiannya
pula didapati dengan berfikir. Kebanyakan ilmu-ilmu teorikal dan
ilmu-ilmu teknikal diruntun keluar oleh jiwa-jiwa para Hukama'(bijak pandai)
dengan
-
kemurnian zihin
-
kekuatan fikiran dan
-
ketajaman agakan mereka dengan tidak menambahkan pengajian.
Andaikata manusia tidak menghasilkan
sesuatu menerusi berfikir dari maklumat pertama nescaya pincanglah masa untuk
manusia(bagi mendapatkan sesuatu) dan nescaya tidak akan hilang kegelapan
kejahilan dari Qalbu-qalbu manusia; kerana jiwa tiada berkuasa mengetahui
seluruh persoalannya sendiri baik yang berupa bahagian atau keseluruhan menerusi
pengajian; malah sebahagiannya ia dapati dengan pengajian dan sebahagiannya pula
ditarik keluar dari hati nurani dengan kemurnian fikiran.
Inilah cara yang biasa terjadi di kalangan
para ulama dan cara inilah yang menimbulkan kaedah-kaedah segala ilmu hingga
seorang arkitek tidaklah belajar seluruh apa yang diperluinya dalam sepanjang
usiannya, malah ia belajar garisan-garisan kasar ilmunya dan
kandungan-kandungannya; kemudian ia menarik keluar(sesuatu) dan
mengqiaskan(menghubungkan) antara satu dengan yang lain. Begitu juga seorang
doktor tidak dapat belajar penyakit-penyakit setiap orang dengan perinciannya,
juga tidak boleh belajar tentang ubat-ubat untuk mereka; malah ia berfikir
tentang maklumat secara umum dan menyelaraskan dengan tiap-tiap seorang menurut
keadaan tubuhnya. Juga seorang ahli nujum, ia hanya belajar ilmu nujum secara
umum sahaja, kemudian ia berfikir dan memberikan bermacam-macam
ketetapan.
Begitu juga ahli feqah dan seorang
sasterawan dan seterusnya begitu juga yang terjadi dalam kalangan para pereka
barang-barang perusahaan, seorang pembuat alat bunyian iaitu gambus dapat
mereka(mencipta) dengan fikirannya, manakala yang lain menghasilkan dari alat
itu suatu alat yang lain pula. Begitu juga seluruh barang-barang perusahaan;
baik untuk keperluan badan atau untuk keperluan jiwa pada mulanya didapati
menerusi pengajian dan buat seterusnya dia dapati menerusi fikiran.
Apabila terbukalah pintu fikiran pada jiwa,
ketahuilah dia cara jalan berfikir dan cara menggunakan agakan untuk mencapai
tujuan. Maka Qalbu seseorang menjadi lega
dan terbukalah mata dalammnya, lalu keluar apa yang ada di dalam jiwanya dari
kekuatan kepada tindakan tanpa penambahan usaha pencarian dan kepenatan yang
berlanjutan.
Jalan Yang Kedua.
Pengajian Rabbani terbahagi kepada dua
bahagia iaitu;
1. Yang Pertama :
Pencampakan Wahyu.
Jiwa itu bila telah sempurna zatnya,
-
maka hilanglah kekotoran-kekotoran tabiat dan kecemaran loba dan angan-angan.
-
Terpisahlah pandangan daripada syahwat keduniaan,
-
putus hubungan dari cita-cita yang tidak abadi,
-
mengarahkan mukanya kepada pencipta dan penjadiNya,
-
bergantung kepada kemurahan penciptaan dan
-
berpegang pada kurniaan faedah daripadaNya dan limpahan NurNya.
Manakala Allah Taala pula
-
dengan keelokkan 'InayahNya mengarahkan kepada jiwa itu secara keseluruhan,
-
memandang kepadanya secara pandangan Ilahi dan
-
menjadikan sebagai Luh,
-
menjadikan Jiwa Keseluruhan(Al-Nafsul Kulli) sebagai Qalam dan
-
menuliskan pada Luh itu seluruh ilmu,
ketika ini Akal Keselurahan
(Al-'Aqlu Kulli) menjadi sebagai guru dan
Jiwa Suci (Al-Nafsul Qudsiah)[Jiwa suci ialah Jiwa Kenabian yang telah sempurna
zatnya] sebagai pelajar,
lalu terdapatlah semua ilmu pada jiwa itu dan terukir padanya seluruh rupa tanpa
pengajian dan fikiran. Ini dibuktikan kebenarannya oleh firman Allah Taala kepada Nabi
SAW. yang bermaksud;
Dan Ia(Allah) telah mengajarkan
engkau apa yang engkau tidak tahu. (Surah
Al-Nisaa';113)
Oleh itu ilmu para Nabi lebih mulia
tingkatannya dari ilmu seluruh makhluk, kerana ia didapati terus dari Allah
Taala tanpa perantaraan atau wasilah.
Ini dapat dlihat contohnya dari kisah kisah
Nabi Adam AS. dan malaikat, Malaikat adalah belajar sepanjang usia mereka dan
menerusi berbagai jalan mereka mendapat banyak ilmu hingga mereka menjadi
makhluk yang paling mengetahui, sedangkan Adam AS. tidaklah Alim, kerana ia
tidak pernah belajar dan tidak pernah menemui seorang guru. Para malaikat
melahirkan kesombongan dan takbur mereka dengan berkata;
"Padahal kami bertasbih dengan
memuji-mujiMu dan memuliakanMu(Allah)" {Surah
Al-Baqarah;30}.
dan berkata bahawa kami mengetahui
hakikat-hakikat segala suatu. Maka Adam AS. pun kembali kepada penciptanya,
mengeluarkan Qalbunya dari sifat-sifat makhluk dan mengarahklan permintaan
tolongnya kepada Allah Taala, lalu Allah mengajarkannya seluruh Nama;
"Kemudian Ia bentangkan
tanda-tanda itu kepada malaikat seraya berfirman: Beritahulah kepadaKu nama-nama
benda ini jika kamu adalah benar!" {Surah
Al-Baqarah;31}.
Maka malaikat pun merasa kecil di samping
Adam, merasa kurang ilmu mereka dan pecahlah kepala kesombongan mereka lalu
karam dalam lautan kelemahan;
"Mereka berkata Maha Suci Engkau
tidak ada ilmu kami melainkan apa yang telah diajarkan kepada kami"
{Surah Al-Baqarah; 32}.
Allah berfirman lagi dengan
maksud;
"Hai Adam!.. beritahulah mereka
(malaikat) nama-nama benda itu". {Surah
Al-Baqarah;33).
Adam AS pun memberitahu kepada mereka
beberapa ilmu yang terpendam dan beberapa perkara yang tersembunyi.
Dari ini jelaslah bagi orang-orang yang
berakal bahawa Ilmu Ghoibi yang tercetus dari jiwa ialah lebih kuat dan lebih
sempurna dari ilmu-ilmu yang didapati dengan usaha(Al-Uluumul Maktasabah). Ilmu
Wahyu ini menjadi pesaka Nabi-Nabi dan kepunyaan Rasul-Rasul. Allah telah
menutup pintu wahyu ini sejak dari zaman penghulu kita Nabi Muhammad SAW. Ia
adalah Rasul Allah SAW. dan Nabi yang penghabisan. Ia adalah manusia yang paling
mengetahui, orang Arab dan 'Ajam yang paling fasih. Nabi SAW pernah bersabda
yang bemaksud;
"Akulah yang paling tahu di
antara kamu dan yang paling takutkan Allah Taala".
Ilmunya lebih sempurna, lebih mulia dan
lebih kuat, kerana ia dapati ilmu ini dari Pengajaran Rabbani dan ia tiada
sekali-kali berkecimpung dalam Pengajian dan Pengajaran Insani. Allah Taala
berfirman dengan maksudnya;
"Ia telah diajar oleh kekuatannya
bersangatan". {Surah
Al-Najm;05}.
2. Yang Kedua :
Ilham.
Ilham ialah pemberitahuan oleh Jiwa
Keseluruhan (Al-Nafsul Kulliah) kepada Jiwa Bahagian (Al-Nafsul Juz'iyah)
manusia menurut kadar kemurnian, penerimaan dan kekuatan persediaan.
Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu
adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati
menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni.
Ilmu Laduni ialah ilmu yang tidak ada
perantaraan dalam mendapatkannya di antara jiwa dan Allah Taala. Ia adalah
seperti cahaya yang datang dari lampu Qhaib jatuh ke atas Qalbu yang bersih,
kosong lagi halus(Lathif). Terjadinya demikian kerana ilmu-ilmu
seluruhnya adalah terterap lagi dimaklumi dalam Jauhar Jiwa Keseluruhan Yang Pertama(Jauharul Nafsul Kulliyatul
Uula) yang mana beradanya(jauhar ini) dalam
jauhar-jauhar Abstrak Yang Pertama Lagi Mutlak
(All-Jawaahirul Mujarridatul Awwaliyatul Mahdhoh)
dinisbahkan kepada Akal Pertama(Al-Aqlu Awal) adalah serupa dengan nisbah Hawa
kepada Adam AS.
Sesungguhnya telah nyata bahawa
Akal Keseluruhan(Al-Aqlul Kulli) adalah lebih
mulia, lebih sempurna, lebih kuat dan lebih hampir dengan Allah Taala daripada
Jiwa Keseluruhan(Al-Nafsul Kulliyah) adalah
lebih teguh, lebih halus dan lebih mulia daripada seluruh makhluk. Dari limpahan
Akal Keseluruhan tercetusnya Ilham. Wahyu adalah pakaian Nabi-Nabi dan
Ilham adalah hiasan Wali-Wali.
Mengenai Ilmu Wahyu(Ilmu Nabawi) pula
sebagaimana Jiwa bukannya Akal, orang Wali bukannya Nabi, maka begitu juga Ilham
bukannya Wahyu. Ilham adalah lemah dibandingkan dengan Wahyu, tetapi lebih kuat
dibandingkan dengan mimpi-mimpi(mimpi yang benar), sedangkan ilmu(Ilham atau
Ilmu Laduni) adalah ilmu Nabi-Nabi dan Wali-Wali.
Adapun Ilmu Wahyu hanya khas untuk
Rasul-Rasul, terbatas setakat mereka sahaja seperti Ilmu Nabi Adam dan Nabi Musa
AS., Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW. dan Rasul-Rasul yang lain. Perbezaan di
antara "Kerasulan" dan "Kenabian" terletak pada bahawa
-
"Kenabian" itu ialah penerimaan jiwa suci akan hakikat-hakikat maklumat dan ma'quulah dari Jauhar Akal Yang Pertama dan
-
"Kerasulan" ialah menyampaikan maklumat dan ma'quulat itu kepada orang-orang yang mahu mengambil faedah dan yang mahu menerimanya.
Kadang-kadang ada persesuaian untuk
menerima pada jiwa seseorang, tetapi tidak mungkin hendak disampaikan kerana ada
halangan atau sebab yang tertentu.
Ilmu Laduni adalah untuk ahli Kenabian dan Kewalian bersama, sebagaimana yang
terjadi pada Nabi Khaidir AS. Hal ini ada tersebut dalam firmanNya yang
bermaksud;
"Dan Kami telah ajarkan ilmu dari
sisi Kami". {Surah
Al-Kahfi;65}
Berkata Amir Mukminin Ali bin Abi Talib
Karramallaha Wajhu ;
"Aku memasukkan lidahku ke dalam
mulutku(mengunci mulutku) lalu terbuka dalam Qalbuku seribu pintu ilmu,
tiap-tiap pintu terdapat seribu pintu pula",
seterusnya ia berkata, "Andaikan disuratkan
kepadaku suatu bantal dan kududuk di atasnya nescaya ku dapat menghukumkan ahli
Taurat dengan Taurat mereka dan ahli Injil dengan Injil mereka dan ahli
al-Qur'an dengan Qur'an mereka".
Ini adalah tingkat yang tiada dapat dicapai
dengan Pengajian Insani semata-mata malah dapat dicapai dengan kekuatan Ilmu
Laduni. Berkata lagi Sayyidina Ali lagi dalam menceritakan tentang Kitab Taurat
Nabi Musa AS., bahawa syarah kitab ibi dapat dibawa dengan empat puluh ekor
unta, katanya;
Jika diizinkan Allah mensyarahkan
makna-makna Surah Al-Fatihah(sahaja) nescaya aku dapat melaksanakannya hingga
sampai seperti itu juga". ertinya 40 bebanan
unta.
Kebanyakan, keluasan dan kebukaan dalam ilmu ini
tdak terjadi, melainkan ilmu itu adalah Laduni, Ilahi
lagi tinggi.
Bila Allah hendak menjadikan hambanya
seseorang yang baik, Ia(Allah) menyingkapkan hijab di antara ZatNya dan jiwa
yang menjadi Luh, lalu lahirlah pada jiwa itu sebahagian dari rahsia-rahsia yang
terpendam dan tertulis makna-makna segala rahsia yang terpendam ini. Dengan ini
dapatlah jiwanya mengucapkan rahsia-rahsia yang terpendam ini menurut kehendak
kepada sesiapa yang dikehendakinya
Hakikat hikmah adalah diambil dari Ilmu
Laduni, selagi seseorang itu tidak sampai kepada tingkat ini, tidak dpat
dianggap sebagai seseorang yang HAKIM, kerana hikmah adalah dari kurniaan Allah
Taala sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah;269 yang
bermaksud;
"IA(Allah) mengurniakan hikmah
kepada sesiapa yang dikehendaki dan sesiapa yang dikurnia hikmah maka
sesungguhnya(bererti) ia telah dikurniakan kebajikan yang banyak dan tidak akan
ingat melainkan orang-orang yang berfikiran".
Ini adalah kerana orang-orang yang sampai
kepada tingkat Ilmu Laduni tidak memerlukan penumpahan tenaga yang banyak untuk
mendapatkan ilmu dan tidak penat dalam pengajian. Mereka belajar sedikit dan
mengetahui banyak, berpenat sedikit dan beritirahat banyak.
Ketahuilah bila Wahyu itu telah terhenti
dan pintu Kerasulan telah ditutup, manusia tidak perlu lagi kepada rasul-rasul
dan menyebarkan agama baru., kerana segala yang berhubung dengan agama telah
lengkap sempurna sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Maidah;37 yang
bermaksud;
:"Hari ini aku sempurnakan agama
kamu untuk mu"
dan tidaklah bijak menambahkan lagi faedah
tanpa hajat.
Ada pun pintu Ilham tidak tertutup,
perbekalan Nur Jiwa Keseluruhan(Al Nafsu Kulliah) tidaklah terhenti, kerna
berlanjutan keperluan jiwa-jiwa kepada penguatan, pembaharuan dan pengingatan.
Manusia tidak memerlukan rasul-rasul, tetapi kerana mereka tenggelam dalam
was-was dan syahwat mereka memerlukan pengingatan dan penyedaran. Oleh
itu Allah Taala mengunci pintu Wahyu dan membuka pintu Ilham sebagi rahmatNya.
Ia menyiap dan menyusun segala-galanya supaya manusia tahu bahawa Allah
adalah lembut dengan para hambaNya. mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang
dikehendaki tanpa hisab.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar