Ketahuilah bahawa ilmu-ilmu adalah terhunjam dalam seluruh
jiwa manusia dan semuanya sesuai untuk menerima seluruh ilmu. Kalau suatu jiwa
itu terluput dari mendapat habuannya, tidak lain hanya kerana suatu sebab yang
mendatang, menimpa ke atasnya dari luar. Sebagaimana sabda Nabi SAW. yang
bermaksud:
"Dijadikan manusia dalam keadaan
suci, kemudian dirosakkan mereka oleh syaitan-syaitan". dan sabdanya
lagi yang bermaksud:
"Tiap-tiap yang dilahirkan adalah
dilahirkan dalam keadaan semulajadi".
Jiwa berakal(Al-Nafsul Naathoqah) manusia memang
layak untuk menerima pencaran jiwa keseluruhan(Al-Nafsul Kulliyah) di
atasnya dan bersedia untuk menerima gambaran-gambaran yang dapat difahami oleh
aqal(Ma'quulah) dengan kekuatan kesucian aslinya dan kemurniaannya yang asal.
Tetapi sebahagiannya menderita sakit dalam dalam dunia ini diserang oleh
berbagai penyakit yang menyebabkan tiada dapat mencapai hakikat-hakikat,
manakala sebahagiannya masih dalam keadaan kesihatan yang asal tanpa sakit dan
rosak dan sentiasa bersedia(untuk menerima ilmu) selagi masih hidup.
Jiwa-jiwa yang sehat ialah jiwa-jiwa Kenabian(Al-Nufus
Al-Nubuwiyah) yang bersedia untuk menerima wahyu dan bantuan(pertolongann
atau penguatan dari Allah), berkuasa untuk melaksanakan penyelongkaran dalam
Ilmu kejadian dan kebinasaan, kerana jiwa-jiwa itu adalah kekal dalam kesihatan
aslinya dan tidak berubah Mazrajnya oleh bencana penyakit. Oleh itu Ambiya'
adalah menjadi para doktor-doktor jiwa dan menjadi para penyeru makhluq supaya
menyucikan semulajadi mereka.
Ada pun jiwa-jiwa yang sakit dalam dunia yang hina ini
terdiri dari beberapa tingkat:
1. Jiwa-jiwa yang sedikit sahaja dikesani oleh penyakit
yang menimpa dan sedikit sahaja awan kelupaan menyeliputi lintasan-lintasan
fikiran mereka. Mereka berusaha dalam pengajian dan mencari kesihatan asli.
Dengan ini hilanglah penyakit mereka dengan pengubatan yang mudah. Tersingkaplah
awan kelupaan mereka dengan hanya sedikit pengajian sahaja.
2. Jiwa-jiwa yang belajar sepanjang usia dan berusaha dalam
pengajian itu. Mereka mencari kesihatan asli, maka hilanglah penyakit itu dengan
pengubatan yang mudah dan tersingkaplah awan kelupaan mereka dengan hanya
sedikit pengingatan.
3. Jiwa-jiwa yang belajar sepanjang usia, berusaha
mendapatkan ilmu dan membetulkan dalam seluruh zaman mereka, sedangkan mereka
tidak faham sedikit pun kerana rosak mazraj mereka, sebab mazraj ini bila rosak
tidak akan dapat diubati lagi.
4. Jiwa yang mengingat dan lupa, cuba melatihkan diri
(dengan beramal untuk mengembalikan ingatan itu) tetapi tiada berdaya. Mereka
hanya mendapat Nur yang sedikit dan pancaran yang malap.
Perbedaan-perbedaan ini timbul dari pengarahan jiwa-jiwa
itu terhadap dunia dan tenggelam di dalam dunia ini menurut kuat dan lemahnya
seperti orang sihat bila ia sakit dan orang sakit bila ia sihat. Bila masalah ini telah terurai, akan timbullah jiwa-jiwa itu
dengan Ilmu Laduni dan akan mengetahui bahawa mereka memang Alim(mengetahui)
pada awal semula jadinya dan murni pada permulaan ciptaannya.
Sedangkan mereka menjadi jahil itu adalah kerana sakit yang dideritai ketika
bersama dengan jasad yang tebal ini dan ketika tinggal dalam rumah yang kotor
dan tempat yanng gelap.
Bahawa jiwa-jiwa itu belajar untuk mendapatkan ilmu yang
tidak ada, bukanlah menciptakan aqal yang luput, malah
belajar itu adalah merupakan usaha jiwa-jiwa tersebut untuk mengembalikan ilmu
asal lagi instintif (berdasarkan naluri bukan dihasilkan oleh taakulan atau ajaran)
dan menghilangkan penyakit yang timbul dari
pengarahan jiwa-jiwa itu kepada kekotoran jasad dan segala yang berhubung dengan
kepentingan jasad.
Seorang bapa yang pengasih lagi penyayang kepada anaknya,
bila ia mengarahkan perhatiannya kepada soal menjaga anak sahaja, ia akan lupa
segala urusan yang lain dan masanya penuh dengan soal membicarakan anak sahaja.
Begitu juga jiwa, kerana terlampau memperhitungkan kepentingan kerangka(jasad)
ini dan tenggelam di dalam lautan tabiat dengan sebab lemah dan pengasingannya.
Ia memerlukan pelajaran sepanjang usianya untuk mengingatkan kembali apa yang
telah dilupakan dan untuk mendapatkan semula apa yang telah luput. Pengajian ini tidak lain dari hanya pengembalian jiwa kepada
jauharnya dan pencungkilan apa yang berada dalam hati nurani kepada tindakan
untuk menyempurnakan zatnya dan mencapai kebahagiannya.
Bila suatu jiwa telah lemah dan tidak dapat kembali kepada
hakikat Jauhariahnya, hendaklah ia berguru pada seorang yang pengasih lagi Alim
dan memohon pertolongan daripadanya supaya ia menolong dalam mencapai
cita-citanya, seperti seorang sakit yang tidak tahu cara mengubati penyakitnya
sedangkan ia berusaha menyembuhkannya. Ia terus menemui doktor yang pengasih,
menerangkan hal dirinya dan meminta supaya mengubatinya.
Kita pernah menyaksikan seorang Alim menderita suatu
penyakit yang tertentu seperti sakit kepala dan dada, menyebabkan lari ilmu dari
jiwanya. Ia lupakan segala maklumatnya dann ingatannya terhadap segala apa yang
didapatinya dulu menjadi keliru dan tertutup. Bila ia sihat kembali, hilanglah
lupanya itu dan kembalilah jiwa mengingati maklumatnya, lalu teringatlah semula
apa yang telah dilupainya semasa sakit.
Dari sini kita dapat mengetahui bahawa ilmu-ilmu itu tidaklah binasa, sebenarnya ia dilupakan.
Perbedaan antara "Mahwun" artinya "sapu" dan
"Nasyan" ertinya "lupa" ialah sapu itu artinya
binasa ukiran-ukiran dan tulisan-tulisan, manakala lupa ialah kekeliruan di
antara ukiran-ukiran dan tulisan-tulisan itu. Seperti awan yang mendung atau
awan yang menutup sinar matahari dari pandangan orang bukan seperti jatuh
matahari yang ertinya perpindahan matahari dari atas bumi menuju ke bawah
bumi.
Perhatian penuh jiwa dalam pengajian
bermakna menghilangkan penyakit dari jauhar jiwa supaya ia kembali kepada apa
yang telah diketahui pada awal-awal semulajadi dan telah dikenalinya pada awal
kesuciannya.
Bila anda telah mengetahui sebab dan maksud pengajian dan
hakikat jiwa dan jauharnya, maka ketahuilah bahawa jiwa yang sakit adalah
memerlukan pengajian dan pengorbanan usia dalam mendapatkan ilmu-ilmu. Ada pun
jiwa yang kurang sakit dan sedikit sahaja penyakitnya, kecil merbahayanya, tipis
awan mendungnya, sedangkan mazrajnya sihat; maka ia tidak memerlukan penambahan
pengajian dan kepenatan yang lanjut. Malah dengan sedikit Nazhor(Tilik) dan
fikir sudah cukup untuk memulihkan kembali asalnya, sampai kepada permulaan dan
hakikatnya, melihat rahsia-rahsia jiwa dan mencungkil apa yang ada di dalam dari
kekuatan kepada tindakan serta menjadikan apa yang tersembunyi di dalamnya
sebagai pakaian untuknya.
Dengan ini lengkaplah dia dan sempurnalah keadaannya. Ia
mengetahui banyak perkara dalam waktu yang singkat dan menggambarkan maklumat
dengan teratur baik. Ia menjadi Alim(mengetahui),
sempurna lagi dicekapi (Mutakallimah: maksudnya
dicapai dari sebelah hijab atau dengan kata lain, mendengar suara dari Alam
Hakikat atau Alam Ketuhanan tingkat Wahidiah atau Al-Aqlul Kulli yang memberikan
ajaran-ajaran).
Ia mengambil cahaya dari pengarahan terhadap Jiwa-Jiwa
keseluruhan (Al-Nafsul Kuliyyah) dan Jiwa-Jiwa Keseluruhan ini pula melimpahkan
cahayanya ke atas Jiwa Bahagian (Al-Nafsul Juz'ie). Kedua-dua jiwa ini hampir
serupa keadaan dipandang dari segi kerinduan kepada asal. Ia(jiwa-jiwa yang
kurang sakit) memutuskan urat-urat dengki dan umbi dendam dan meninggalkan
keutamaan dan perhiasan-perhiasan dunia. Bila jiwa-jiwa telah sampai kepada
tingkat ini, sesungguhnya ia telah mengetahui, selamat dan berjaya. Inilah yang
dikehendaki untuk semua orang.
Harap dirujuk kembali kepada orang yang ahli dalam bidang ini
Risalah Lidduniyyah : Imam Ghazali
ditulis dengan bahasa melayu
Tidak ada komentar:
Posting Komentar